KEPENTINGAN MEDICAL CARD
Kenapa perlu sediakan medical card?
​
1. Kos perubatan yang terus meningkat
​
Inflasi kos perubatan di negara ini meningkat pada kadar purata 10% setiap tahun. Ini hanya akan menyebabkan kos rawatan yang semakin meningkat. Sebagaimana yang kita sedari, sudah cukup berat bagi golongan pertengahan dan rendah masa ini untuk menabung secukupnya bagi persediaan persaraan. Sememangnya simpanan yang ada tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan yang dijangka mencecah ratusan ribu malah jutaan ringgit menjelang tahun 2035.
Bersediakah kita untuk menampung kos perubatan yang sedemikian tinggi? Dengan adanya pelan perlindungan takaful perubatan, beban kos rawatan dipindahkan kepada pengendali takaful.
​
2. Risiko kemalangan dan penyakit yang tidak dapat dinafikan
​
Sering kita mendapat berita tentang rakan atau kenalan yang tidak bernasib baik. Sama ada mereka kemalangan atau menghidap penyakit secara tidak diduga. Kedua-dua ini boleh mengakibatkan seseorang itu hilang upaya serta hilang punca pencarian. Semakin ramai juga yang berusia di dalam lingkungan 30-an sudah mula menghidapi penyakit jantung. Ini semua adalah risiko yang tidak dapat kita nafikan.
​
Sebelum berlakunya musibah seperti ini, sebaik-baiknya kita melengkapi diri dengan perlindungan takaful perubatan yang dapat mengatasi masalah kewangan yang mungkin dihadapi. Bukan sahaja dari segi keperluan perbelanjaan rawatan, tetapi juga kos kehidupan harian individu serta keluarganya.
3. Jangka hayat penduduk yang semakin meningkat
​
Jangka hayat penduduk Malaysia semakin meningkat – daripada 72.1 tahun pada 2010 ke 74.8 tahun pada 2017! Pada tahun 2020 pula dijangka, purata jangka hayat bagi penduduk lelaki meningkat ke 75 tahun manakala wanita ke 79 tahun. Jangka hayat yang panjang dan tahap kesihatan yang mula merosot di usia tua bererti keperluan rawatan perubatan dan pergantungan terhadap penjagaan kesihatan yang lebih panjang tempohnya. Ini pula bermakna pertambahan kos bagi keperluan tersebut.
​
Tanpa perlindungan takaful perubatan, penduduk warga emas terpaksa menghabiskan duit simpanan persaraan bagi pembiayaan kos rawatan mereka.
4. Ikatan kekeluargaan yang kian lemah
​
Puan Rubayah Yakob, pensyarah di Program Perkhidmatan Kewangan dan Pengurusan Risiko, UKM, memberikan suatu persepsi yang tidak dapat kita nafikan. Menurut beliau, ikatan kekeluargaan yang semakin lemah membuatkan kita kini berdepan dengan budaya baru di mana ibu bapa yang uzur tidak lagi mendapat perhatian dan penjagaan anak-anak. Lain seperti dahulunya di mana tanpa ragu-ragu, anak-anak akan bertanggungjawab ke atas penjagaan dan keselesaan ibu bapa mereka.
Tiada lagi jaminan di hari tua bererti setiap individu perlu membuat persedian sendiri bagi menghadapi hari-hari setelah persaraan di mana tiada lagi punca pendapatan yang dapat menanggung sedikit-sebanyak kos rawatan.
5. Tempoh menunggu di hospital kerajaan
​
Tidak dinafikan hospital kerajaan sudah banyak penambahbaikan dan pembaharuan daripada segi perkhidmatan yang disediakan. Akan tetapi sudah tentu ia tidak sama seperti perkhidmatan yang didapati jika kita mengunjungi hospital swasta. Jauhnya perbezaan di antara taraf perkhidmatan kedua-duanya samalah juga dengan jauhnya perbezaan di antara caj yang dikenakan di antara mereka.
​
Dalam sebuah kajian yang dijalankan, 40% daripada 358 responden menyatakan bahawa mereka pernah menunggu 4 jam untuk berjumpa doktor di klinik atau hospital kerajaan pada tahun 2017, dan hanya 8% yang menunggu kurang 1 jam. 2% pula hanya dapat berjumpa dengan doktor setelah menunggu selama 8 jam.
​
Tanpa takaful perubatan, individu tiada pilihan lain selain bertahan sakit sementara menunggu giliran mereka. Sudah banyak kali kita mendengar keluhan pesakit di mana mereka perlu menunggu selama berbulan-bulan untuk menjalankan pembedahan. Malah menurut kajian yang sama, 26% daripada responden mengatakan mereka telah meninggalkan niat untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di dalam tahun 2017 kerana tempoh menunggu yang lama.
​