Apa itu hibah? Kenapa ia memudahkan pengurusan harta pusaka anda?
​
Hibah merupakan suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘Iwad). Ia berbeza dengan wasiat yang merupakan pemberian harta selepas berlaku kematian pewasiat. Hibah merupakan amalan sunat dan digalakkan dalam Islam, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
​
“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177)
​
1. Rukun dan syarat dalam kontrak hibah
​
Terdapat empat rukun atau syarat yang perlu dipenuhi:
​
-
Pemberi hibah (Al-Wahib)
Pemberi hibah adalah seorang ahliyyah yang sempurna akal, baligh dan rusyd. Mereka juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan itu dan berkuasa penuh ke atasnya.
​
-
Penerima hibah (Al-Mawhub Lahu)
Penerima hibah mestilah mempunyai keupayaan untuk memiliki harta sama ada mukalaf atau bukan mukalaf. Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, maka hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah.
​
-
Harta yang dihibahkan (Al-Mawhub)
Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, di bawah pemilikan pemberi hibah, mampu diserahkan kepada penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.
​
-
Lafaz ijab dan kabul (Sighah)
Lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.